MENU BAR

Drop Down MenusCSS Drop Down MenuPure CSS Dropdown Menu

Rabu, 19 November 2014

REFLEKSI
            Mengajar mata pelajaran Pendidikan Jasmani adalah satu cabaran yang hebat kepada seorang guru. Ini kerana seorang guru Pendidikan Jasmani perlulah memastikan pergerakan yang diajar adalah betul supaya apa yang dilakukan oleh murid tidak mendatangkan mudarat kepada mereka. Apa yang lebih musatahak lagi teknik-teknik  pergerakan itu adalah betul supaya mereka tidak melakukan teknik-teknik yang salah sehingga berlarutan menjadi tabiat yang kekal sedangkan teknik-teknik itu adalah salah.
            Memandangkan betapa beratnya beban seorang guru Pendidikan Jasmani, oleh itu saya sentiasa berhati-hati supaya apa yang saya ajar tidak dikategorikan sebagai salah atau songsang. Kemahiran melakukan servis bola tampar adalah satu aktiviti yang sukar kepada mereka yang tidak pernah bermain bola tampar. Sebagai persiapan saya mencari klip-klip video di You Tube tentang latihan asas kepada mereka yang baru hendak bermain bola tampar. Walaupun saya pernah biasa bola tampar, saya tetap mahu menambah ilmu supaya saya tidak tersalah mengajar kepada anak murid saya.
            Pada langkah permulaan saya cuba membawa aktiviti melakukan servis itu sendiri sebagai cara saya meningkatkan kadar nadi murid saya. Saya meminta mereka memukul bola kecil dengan menggunakan tapak tangan di bahagian bawah bola ke arah rakan di hadapan mereka dan dilakukan secara bergilir-gilir. Saya melihat aktiviti ini sangat bersesuaian dengan pengajaran dan pembelajaran pada hari itu.
            Respon daripada anak murid saya sangat baik dan mereka gembira melakukan aktiviti ini. Cuma saya rasa sepatutnya saya menambahkan lagi tempo kerancakan mereka bergerak. Ini akan menaikkan lagi kadar nadi mereka dan tahap keseronokan mereka. Aktiviti regangan juga berjalan dengan baik.
            Langkah permulaan saya menunjukkan terlebih dahulu cara melakukan servis yang betul kepada murid-murid saya. Oleh kerana semua murid saya ini adalah kali pertama mereka melakukan servis, maka saya sedaya upaya menunjukkan cara melakukan servis yang betul supaya mereka mendapat teknik melakukan servis yang betul. Saya menerangkan titik kontak bahagian bawah bola yang perlu dipukul untuk mendapatkan servis yang baik. Penerangan saya mudah difahami oleh murid saya kerana mereka berjaya melakukan servis dengan cara yang betul. Saya sentiasa memantau pergerakan mereka dan menegur jika ada yang melakukan teknik yang salah. Mungkin kerana masa yang terhad saya mengharapkan mereka dapat memahami apa yang saya cuba sampaikan. Ini mungkin kelemahan saya kerana agak terburu-buru mengejar masa sedangkan pemahaman murid itu yang lebih utama. Aktiviti berjalan dengan baik.Mengajar murid tahun 3 melakukan servis dengan bola tampar yang sebenar boleh mengundang bahaya jika bola terkena bahagian muka mereka. Mujurlah pada hari itu tiada sebarang insiden yang berlaku akibat murid bergurau dengan rakan.
            Pada gerakerja kumpulan saya menaikkan sedikit aras kesukaran aktiviti melakukan servis itu dengan menyuruh mereka melakukan servis melalui gelung rotan.  Saya membahagikan murid-murid saya kepada 3 kumpulan. Mereka perlu melakukan servis secara individu. Ada murid yang mampu membuat aktiviti ini dengan baik. Ada yang lemah. Oleh itu saya memberikan sedikit masa kepada murid yang lemah supaya mereka dapat meningkatkan kemahiran mereka. Permainan bola tampar adalah satu permainan yang agak sukar. Oleh itu saya memahami kesukaran mereka menguasai kemahiran melakukan servis ini dengan baik. Apa yang penting ialah saya perlu memastikan mereka mampu melakukan servis bola tampar  walaupun mengambil masa yang lebih berbanding rakan-rakan yang lain. Saya mengambil pendekatan untuk sentiasa mendorong mereka agar terus melakukan aktiviti ini tanpa sedikitpun menyinggung perasaan mereka. Saya ingin mereka sentiasa seronok dengan mata pelajaran Pendidikan Jasmani. Mujurlah masa yang saya peruntukan itu cukup untuk langkah ini.
            Pada masa kemuncak saya mengaturkan satu pertandingan antara dua kumpulan. Oleh kerana saya memikirkan permainan bola tampar adalah satu perkara yang baru kepada murid-murid saya, maka aktiviti pertandingan ini saya rancang dengan teliti agar dapat menarik minat anak murid saya gemar bermain bola tampar. Saya menambah sedikit peraturan agar suasana pertandingan itu akan menonjol di kalangan murid saya. Saya meletakkan tiga sasaran yang boleh dicapai oleh murid ketika melakukan servis. Setiap sasaran akan membawa markah kepada kumpulan.Setiap murid menunjukkan keseronokan dan ingin menghantar bola ke arah sasaran yang mempunyai markah yang tertinggi tetapi saya sepatutnya menyediakan hadiah untuk menambahkan lagi keseronokan mereka.
            Aktiviti penutup saya bertanya kepada murid tentang kefahaman tentang aktiviti pembelajaran pada hari itu. 22 orang murid daripada 22 orang murid menjawab dengan betul. Saya bersyukur kerana pengajaran saya mencapai objektif pada hari itu. Cuma saya sepatutnya memberikan lembaran kerja agar kemampuan kefahaman individu dapat saya kesan. Aktiviti menyejukkan badan juga menarik perhatian murid-murid saya. Mereka melakukannya dengan riang.saya menerangkan kenapa mereka perlu melakukan aktivit menyejukkan badan. Ini satu kepuasan kepada saya apabila murid-murid saya mendengar arahan dan seronok dengan pengajaran dan pembelajaran mereka.
            Semoga apa yang telah saya lakukan dalam pengajaran dan pembelajaran pada hari itu dapat meningkatkan lagi kemahiran saya mengajar.
           




Tiada ulasan:

Catat Ulasan