MENU BAR

Drop Down MenusCSS Drop Down MenuPure CSS Dropdown Menu

Jumaat, 3 Oktober 2014

Hubungan Etnik

1.0 Pengenalan
            Tanah Melayu mula dijajah setelah kedatangan armada angkatan tentera laut Portugis yang menyerang Melaka pada tahun 1511. Semenjak itu Tanah Melayu bersilih ganti dijajah oleh kuasa-kuasa besar dunia seperti Portugis, Belanda, British dan Jepun. Kuasa besar yang paling lama menjajah Tanah Melayu ialah Brtitish. Oleh kerana menjajah Tanah Melayu dalam tempoh yang lama, sudah tentulah kerajaan British perlu mengawal segala situasi di Tanah Melayu untuk memastikan kuasa dan pengaruhnya di Tanah Melayu tidak terjejas. Tujuan sebenar Inggeris datang ke Tanah Melayu pada mulanya bukan bertujuan memperkenalkan sistem pendidikan tetapi terpaksa diperkenalkan juga di Tanah Melayu kerana tuntutan politik dan juga desakan daripada sesetengah pihak. Keadaan ini memaksa kerajaan British mengatur dan mengawal sistem pendidikan di Tanah Melayu.
            Kerajaan British telah mewujudkan sistem persekolahan Vernakular. Sistem persekolahan Vernakular adalah merujuk kepada sekolah yang menggunakan bahasa ibunda dalam penyelidikan dan pembangunan pengajaran dan pembelajaran di sekolah.  Sistem persekolahan Vernakular ini sangat bertepatan dengan dasar pecah dan perintah yang diamalkan oleh kerajaan British. Terdapat empat jenis sekolah vernakular  iaitu sekolah aliran Inggeris, sekolah aliran Melayu, sekolah aliran Cina dan sekolah aliran Tamil.
            Apakah pendidikan berteraskan sistem persekolahan Vernakular ini mampu mewujudkan hubungan yang baik di kalangan etnik di Tanah Melayu? Kita tinggalkan dahulu persoalan itu. Seterusnya mari kita kaji lebih mendalam tentang sistem persekolahan Vernakular itu sendiri.

2.0 Sistem Persekolahan Vernakular.
            Secara amnya, tidak terdapat sistem pendidikan kebangsaan di Tanah Melayu semasa penjajahan British. Dasar British yang kurang memberi perhatian kepada bidang pendidikan telah mewujudkan sistem pendidikan vernakular. Sistem Pendidikan Vernakular bermaksud sistem pendidikan yang berasaskan bahasa ibunda masing-masing sebagai bahasa pengantar. Sistem pendidikan berbentuk vernakular dihasilkan dengan mengekalkan setiap kaum dengan identiti bahasa dan negara asal mereka. Sejarah membuktikan perkembangan untuk orang Melayu disekat dan dibantutkan oleh strategi kolonial British bagi mengelakkan pembentukan kesedaran kebangsaan. Sejak campur tangan British di Negeri-negeri Melayu, peruntukan pendidikan Melayu telah digunakan sebagai satu bentuk kawalan sosial untuk mengongkong orang-orang Melayu memasuki milieu sosial mereka (Haris 1983). Perkembangan yang berlaku menyebabkan British terpaksa menyediakan sistem pendidikan berbeza kepada tiga kaum tersebut. Penyediaan pendidikan bukanlah untuk membentuk masyarakat “enlightened” tetapi bagi mengesahkan alasan alasan kehadiran British ke Timur adalah untuk mentamadunkan masyarakatnya.
            Sekatan pendidikan turut dikenakan terhadap orang India yang menetap di ladang – ladang bagi mengekalkan status quo mereka sebagai ‘anak ladang’. Orang India yang tinggal di bandar – bandar seperti Pulau Pinang dan Melaka, seperti juga orang Melayu telah di beri peluang untuk memasuki sekolah Inggeris. Keadaan ini telah mendirikan dua buah sekolah yang gah di bawah pimpinan pendidikan colonial British iaitu Penang Free School dan Malacca Free School bagi melahirkan segelintir “ loyal servant “ kepada pemerintah British.
            Orang Cina pula mempunyai system pendidikan tersendiri yang dibiayai oleh pedagang – pedagang dan pelombong Cina. Ternyata orang Cina mempunyai system pendidikan yang jauh lebih maju daripada pendidikan orang Melayu dan India.  Isu pendidikan vernakular perlu difahami kerana melalui pendidikan inilah terbentuknya polarisasi kaum. Polarisasi ini pula terus – menerus menyalurkan British dengan sumber manusia tanpa sebarang tentangan dan kesulitan dalam kerangka pengkhususan kerja masing – masing.
            Walau bagaimanapun, terdapat kesan negatifnya, iaitu menyebabkan orientasi terhadap negara ibunda masing-masing. Sekolah yang memberi kebebasan wujudnya sekolah-sekolah Cina dan India, telah menyebabkan masyarakat negara ini tidak menuju kepada perpaduan kaum, dan ini disedari bercanggah dengan kepentingan terhadap perpaduan.

3.0 Sekolah – sekolah yang ditubuhkan pada zaman kolonial
3.1  Sekolah Vernakular Melayu.
            Sebelum penjajahan British, kanak-kanak Melayu mendapat pendidikan di surau, masjid dan sekolah pondok. Kokurikulumnya ialah membaca dan memahami al-Quran, mempelajari bahasa Arab, hukum-hukum agama, serta kemahiran membaca, menulis dan mengira. Sistem Pendidikan pondok atau madrasah menyediakan pendidikan yang lebih teratur. Ciri-ciri pendidikan pondok adalah lebih memberikan penekanan terhadap ajaran agama. Pelajar yang lulus sekolah pondok bakal berkhidmat sebagai guru agama yang bakal memberikan khidmat kepada masyarakat. Tempoh pengajian di sekolah pondok memakan masa yang terlalu lama iaitu sehingga sepuluh tahun.
            Sekolah Madrasah pula mempunyai ciri-ciri tersendiri, yang mana mata pelajaran yang diajar berdasarkan sukatan yang telah ditetapkan. Tahap pendidikan ini dilaksanakan secara kelas mengikut tahap, peningkatan darjah berlaku secara automatik. Tahap pengajian sekolah ini terbahagi kepada tiga iaitu tahap permulaan, tahap pertengahan dan tahap pengkhususan. Guru besar atau Mudhir adalah orang yang bertanggungjawab dalam mengawasi dan menguasai perjalanan sekolah Madrasah. Namun begitu terdapat satu lembaga dan jawatan kuasa yang membantu dalam menyelia perjalanan sekolah ini.
            Semasa pentadbiran British, Sekolah Melayu didirikan bagi memberikan pendidikan sekular kepada anak-anak petani dan nelayan. Sekolah sekular ini bermaksud pendidikan yang berkaitan dengan ilmu keduniaan. Di sekolah ini anak-anak Melayu diajar menulis, membaca dan mengira serta sedikit ilmu Geografi, seni pertukangan dan perkebunan. Sekolah Sekular Melayu hanya memberikan pendidikan rendah sehingga darjah enam sahaja. Sekolah sekular Melayu pertama dibina adalah di negeri-negeri selat, iaitu Sekolah Melayu Gelugor dan Sekolah Melayu Bayan Lepas di Pulau Pinang. Sekolah-sekolah sekular Melayu kemudiannya dibuka di Seberang Prai, Melaka dan kemudiannya dibuka di negeri-negeri Melayu yang lain. Pada tahun 1872, A.M. Skinner memperkenalkan persekolahan dua sesi iaitu pagi untuk matapelajaran Bahasa Melayu, Matematik, Ilmu Alam dan matapelajaran vokasional. Manakala pada sebelah petang pula  matapelajaran Bahasa Arab dan Al-Quran.
            Sekolah-sekolah sekular yang didirikan khas untuk orang Melayu kurang mendapat sambutan walaupun percuma. Kehadiran pelajar yang tidak menggalakkan ini adalah disebabkan syak wasangka ibu bapa Melayu tentang sekolah yang didirikan oleh orang asing ini. Mereka tidak percayakan orang asing dapat memberi pendidikan terbaik terhadap anak mereka selain ajaran agama. Tiadanya pengajaran al-Quran juga merupakan faktor kepada kurangnya sambutan kepada sekolah sekular ini. Disamping itu kekurangan sambutan kepada sekolah ini juga didorong oleh amalan budaya orang Melayu sendiri, dimana tenaga anak-anak Melayu diperlukan untuk mengerjakan sawah, menolong keluarga ke laut dan juga di rumah bagi anak-anak orang Melayu yang perempuan.
            Lokasi sekolah sekular ini yang jauh dari petempatan atau perkampungan Melayu juga antara faktor kenapa sekolah ini kurang mendapat sambutan. Orang Melayu tidak mampu untuk membiayai tambang perjalanan ke sekolah sekular ini berikutan taraf ekonomi keluaga yang rendah. Selain itu kebanyakan anak-anak Melayu khuatir meninggalkan rumah kerana yang perempuan sangat terikat dengan budaya dan adat orang Melayu tradisi yang menghalang anak-anak perempuan untuk melangkah jauh meninggalkan rumah. Keadaan ini berkait rapat dengan tentangan daripada golongan konservatif iaitu golongan yang berpegang kuat pada asas amalan tradisi Melayu.
            Pada tahun1905, Kolej Melayu Kuala Kangsar (Malay college Kuala Kangsar) ditubuhkan khas bagi anak-anak golongan bangsawan Melayu yang menjadi alat pentadbiran British. Ianya berasaskan sistem pendidikan terbaik di Britain. Pada tahun 1910, mereka yang telah lulus darjah tujuh di kolej tersebut diserapkan ke dalam perkhidmatan pentadbiran Melayu. Pada tahun 1930, golongan ini dilantik untuk menjawat jawatan rendah dalam Perkhidmatan Awam Tanah Melayu (MCS). Lulusan kolej ini diharap menjadi penyokong setia British. Atas desakan untuk memenuhi kekurangan besar dalam bilangan guru, R.O Winstedt selaku penolong Pengarah Pelajaran telah dipertanggungjawabkan untuk mentadbir sekolah-sekolah vernakular Melayu. Beliau telah mencadangkan penubuhan sebuah maktab bagi melatih guru-guru Melayu di Tanjung Malim, Perak. Dengan ini, lahirlah Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) pada tahun 1922. Penubuhan MPSI adalah “mercu sistem pendidikan rendah Melayu” (Loh 1975).
            Sungguh pun penubuhan MPSI dikatakan satu peritiwa bersejarah dalam pendidikan Melayu, namun bidang pelajarannya masih sempit. Kerajaan British masih tetap dengan dasar mengekalkan status quo orang Melayu. Dasar yang dipegang oleh pentadbir British adalah semata-mata untuk mengeluarkan petani dan nelayan Melayu yang tahu menulis dan membaca. Menurut Tan Din Eing, “perhatian yang lebih berat diberikan supaya orang melayu yang keluar dari kampung-kampungnya mendapat pekerjaan”.
            Pendidikan Vernakular Melayu adalah rendah mutunya. Tumpuan diberi hanya kepada asas seperti membaca, menulis, dan mempelajari asas kira-kira. Antara tahun 1914-1940, tidak terdapat sekolah menengah aliran Melayu di Tanah Melayu. Perkembangan sekolah hanya terhad kepada sekolah rendah sahaja. Unsur dualisme dalam pendidikan vernakular Melayu sangat jelas. Bagi rakyat biasa, tujuan pendidikan Melayu adalah hanya menjadikan mereka petani dan nelayan yang lebih baik daripada ibu bapa mereka.
            Unsur dualisme adalah bertujuan untuk mengekalkan satatus quo masyarakat Melayu iaitu terus membiarkan orang Melayu terus taksub dengan cara pendidikan mereka dan tanpa melihat kemajuan masyarakat lain yang berada di sekeliling mereka. Dengan ini orang Melayu tidak akan bangkit menentang kekuasaan Britisah di tanah air mereka. Ini bermaksud British ingin terus membiarkan orang Melayu terus di belenggu kemiskinan dan pemikirian kolot mereka itu. British juga ingin mengekalkan orang Melayu supaya terus tinggal di perkampungan nelayan atau di kawasan pedalaman dengan mengusahakan sawah padi. Penubuhan sekolah vernakular Melayu ini juga bertujuan untuk mengekalkan kesetiaan dan jalinan persahabatan antara pegawai kerajaan British dengan golongan elit Melayu, iaitu golongan raja dan pembesar-pembesar Melayu supaya terus memberikan kerjasama dengan mereka.

3.2 Sekolah Vernakular Cina
            Pendidikan Cina di Tanah Melayu sehingga abad ke-20 adalah berasaskan pengetahuan klasik Confucius. Sekolah-sekolah Cina menekankan kaedah pembelajaran secara menghafal, mendeklamasi teks Confucius atau klasik Cina tanpa memahami maknanya. Penggunaan sempoa (alat mengira) adalah penting. Terdapat tiga jenis sekolah Cina pada zaman kolonial.
            Sekolah yang pertama iaitu yang dikendalikan oleh jawatan kuasa peringkat daerah, persatuan, keluarga Cina di Bandar atau di daerah tertentu. Sekolah yang kedua iaitu ditubuhkan oleh orang perseorangan atau beberapa orang guru dalam satu jawatan kuasa yang terdiri daripada penaja atau dermawan. Sekolah yang ketiga pula yang dijalankan oleh guru yang mengambil upah dari anak-anak murid mereka. Contoh sekolah vernakular Cina ialh SJK(C) Hua Lian, Tanjung, Perakdan SJK(C) Chung Hwa, Kota Bahru, Kelantan.
            Sekolah Cina menggunakan bahasa Cina atau Mandarin (Kuv Yu) sebagai bahasa pengantar. Guru, sukatan mata pelajaran dan buku dibawa dari China. Sekolah Cina menyediakan pendidikan rendah selama enam tahun. Terdapat sekolah Cina yang menyediakan pendidikan sehingga tahap senior Middle iaitu pelajaran menengah atas tiga atau sekolah Tinggi. Bagi mereka yang hendak melanjutkan pelajaran, mereka harus pergi ke negara China.
            Langkah untuk mengawal sekolah Cina bermula apabila sekolah ini digunakan oleh parti Kuomintang (KMT) dan Parti Komunis China (PKC) sebagai pusat dakyah. Sekolah Cina di Tanah Melayu pada tahun 1920-an menjadi medan pertarungan antara dua ideologi politik yang bertentangan ini. Pada tahun1920, kerajaan telah meluluskan enakmen pendaftaran sekolah untuk mengawal sekolah-sekolah Cina. Menurut enakmen ini,semua sekolah yang didirikan mesti didaftarkan. Enakmen ini memberi kuasa kepada pengarah pelajaran untuk menutup sekolah yang tidak mengikut syarat pengurusan, sukatan pelajaran, dan peraturan kesihatan yang ditetapkan oleh British. Namun, perlaksanaan enakmen ini kurang berjaya.
            British kemudiannya terpaksa mengambil tindakan yang lebih tegas pada tahun 1929. Antara tindakan itu adalah menghapuskan semua unsur Eropah yang terdapat dalam buku teks sekolah vernakular Cina. Guru-guru yang lahir di negara Cina tidak dibenarkan lagi masuk ke Tanah Melayu. Pegawai-pegawai kerajaan dilantik untuk mengawal sekolah-sekolah Vernakular Cina ini. Selain itu, peruntukan kerajaan juga diberikan kepada sekolah-sekolah ini supaya dapat menyekat pengembangan ideologi komunis.
            Pada keseluruhannya, tiada permintaan yang luas bagi pendidikan Cina pada tahap yang lebih tinggi kerana pendidikan Cina tidak membawa ke arah kemajuan sosial dan ekonomi. Menurut Andaya,”…..seperti hal dengan pendidikan India di Tanah Melayu, sekolah-sekolah pengantar Cina tidak memberikan persediaan supaya seseorang individu boleh naik meningkat di bawah pemerintahan kolonial British.

3.3 Sekolah Vernakular Tamil
            Semasa zaman pendidikan British kita melihat bahawa ,British tidak mengambil berat tentang pendidikan orang India. Pendidikan Tamil adalah secara formal di Tanah Melayu dan dimulakan oleh orang perseorangan dan pertubuhaan masyarakat India. Dalam perkembangan sekolah India kita dapat menilai dan melihat bahawa sekolah Vernakular Tamil dipengaruhi oleh perkembagan ekonomi di Tanah Melayu . British telah mengarahkan supaya Orang India berhijrah secara beramai-ramai untuk bekerja di Tanah Melayu sebagai pekerja di ladang kopi, ladang tebu, ladang kelapa dan ladang getah . Dalam masa yang sama juga masyarakat India telah membina sekolah-sekolah Tamil dan sekolah –sekolah ini telah didirikan di kawasan ladang di Seberang Prai , Pulau Pinang dan Johor.
            Dapat dilihat bahawa sekolah-sekolah India yang di bina pada waktu itu, hanya sekolah –sekolah ladang dan bermutu rendah dan menghadapi pelbagai masalah seperti ” kekurangan kemudahan di dalam sekolah seperti alat-alat untuk mengajar , dan juga bilangan guru yang betul-betul berkelayakan” . Lazimnya sekolah-sekolah adalah terdiri daripada Kangai, Penyelia ladang, ataupun buruh-buruh yang yang secara kebetulan diketahui tahu membaca dan menulis akan diambil secara langsung menjadi guru di sekolah India pada masa itu.
            Dari segi bahasa pengantar yang digunakan pula , di sekolah India telah menggunakan pelbagai rumpun bahasa dari India seperti bahasa Telegu, Malayalam, Punjabi atau bahasa Hindi. Hal ini menunjukkan bahawa sukatan pelajaran yang digunakan pada masa itu, adalah yang berunsur “keindahan”. Pada tahun 1962 , British telah memperkenalkan sebuah undang-undang buruh yang mewajibkan pengusaha ladang supaya menyedikan sekolah dan guru untuk anak-anak pekerjanya .Keadaan ini secara langsung telah menyebabkan bilangan sekolah Tamil bertambah bagaikan cendawan selepas hujan di setiap kawasan ladang di Tanah Melayu.Walau bagaimanapun, ” terdapat juga sekolah Tamil yang didirikan di kawasan bandar seperti sekolah Thamboosamy Pillai dan sekolah Vivekananda di Bandar Kuala Lumpur.
            Kesimpulannya, dapat kita renungkan bersama bahawa campur tangan kerajaan pada masa itu terhadap sekolah Tamil adalah paling minimum kerana banyak dikuasai oleh Gabenor British yang memerintah sesuatu kawasan atau daerah Tanah Melayu, apa yang di katakan adalah muktamad dan tidak boleh dibantah. Matlamat kerajaan pada masa itu juga hanya ingin mewujudkan tenaga buruh India untuk kepentingan Tanah Melayu dan hanya berpuas hati melihat orang India hanya mempunyai pengetahuan asas seperti dalam bidang pertanian , dan dalam bidang kemahiran sahaja. Kerajaan pada masa itu melihat kewujudan sekolah Tamil pada peringkat tinggi difikirkan tidak perlu dan tidak penting kepada masa depan masyarakat Tamil. Hal ini telah membawa kesan luka di jiwa masyarakat India pada masa itu kerana hanya golongan India yang kaya sahaja mampu menghantar anak mereka ke sekolah Inggeris yang lengkap dan mencukupi dari pelbagai kelengkapan. Natijahnya, kita melihat bahawa ini telah membawa kepada jurang perbezaan antara orang India yang berpendidikan Inggeris dan bejaya menceburkan diri dengan kerjaya yang bagus berbanding dengan orang India yang miskin dan terpaksa hidup kekal menjadi buruh di kawasan ladang dan pelabuhan sahaja.

3.4   Sekolah Vernakular Inggeris
            Sekolah Inggeris menyediakan pelajaran bagi semua kaum di Tanah Melayu. Sekolah-sekolah ini diusahakan oleh mubaligh Kristian dan badan-badan awam. Tujuan kerajaan mengadakan sekolah Inggeris adalah supaya penduduk tahu membaca, menulis dan mengira. Walau bagaimanapun, pentadbiran British memerlukan ramai kerani dan pegawai rendah tempatan yang mempunyai kemahiran berbahasa Inggeris. Sekolah Inggeris yang pertama di dirikan di Negeri-Negeri Selat digelar Sekolah Free. Sekolah ini digelar sedemikian kerana terbuka untuk semua kaum. Sekolah Inggeris yang pertama di Tanah Melayu adalah Penang Free School yang ditubuhkan pada tahun 1816. Tujuan penubuhan sekolah itu adalah untuk melahirkan golongan pegawai yang cerdik, tekun dan jujur.
            Sekolah Inggeris dibahagikan kepada sekolah perempuan dan sekolah lelaki. Kelas yang lebih tinggi akan diajar kemahiran pertukangan kayu, membuat kasut dan pakaian. Sekolah Inggeris yang lain adalah Malacca School Free (1826) dan Singapore Free School (1834). Terdapat sekolah Inggeris kerajaan di Negeri-negeri Melayu yang menawarkan pelajaran percuma kepada anak-anak lelaki golongan pembesar. Pegawai British seperti Frank Swettenham, Hugh Clifford dan Martin Lister menganggap bahawa apabila pelajaran percuma diberikan, para pembesar akan lebih mudah bekerjasama.
            Pada tahun 1889, William Maxwell, residen Selangor telah melantik Rev. Frank Haines sebagai guru Bahasa Inggeris kepada anak-anak raja di Selangor. Sebuah kelas bahasa Inggeris dimulakan pada tahun 1890 di sekolah Melayu di Kuala Lumpur tetepi sambutannya amat dingin. Sekolah Inggeris didirikan akibat desakan orang ramai ialah Victoria Intstution, Kuala Lumpur. Sekolah ini ditubuhkan pada 1893 bersempena perayaan Jubli Intan pemerintahan Ratu Victoria. Rayuan bagi memberi derma kepada tabung sekolah tersebut disambut baik. Jumlah murid pada peringkat awal adalah 150 orang kanak-kanak lelaki. Pada tahun 1925, sekolah ini dijadikan sekolah kerajaan dan kemudian dipindahkan ke Bukit Petaling pada tahun 1929 .

            Terdapat sekolah Inggeris yang ditubuhkan oleh badan mubaligh Kristian seperti Pertubuhan Mubaligh London, Methodist Amerika, Gereja Anglikan dan Gereja Roman Katolik. Sekolah-sekolah ini berkembang apabila mendapat bantuan dari kerajaan British. Sumbangan penting sekolah mubaligh adalah kejayaan memberikan pelajaran kepada anak-anak perenpuan. Mereka berjaya meyakinkan ibu bapa untuk menghantar anak perempuan mereka ke sekolah. Pada akhir tahun 1974, tedapat kira-kira 33 buah Mubaligh untuk kanak-kanak perempuan.
            Antara sekolah mubaligh bagi kanak-kanak perempuan ialah sekolah Perempuam Methodist Senior, Kuala Lumpur. Sekolah ini diserahkan kepada mubalight Methodist Amerika masalah kewangan dan kesukaran untuk mendapatkan tenaga pengajar. Terdapat juga sekolah-sekolah mubaligh untuk kanak-kanak lelaki seperti sekolah lelaki Katholik di Pulau Pinang dan St. John Institution di Kuala Lumpur. Mata pelajaran adalah nahu Inggeris, Sejarah dan Geografi diajar dalam tahun tiga. Mata pelajaran sejarah diajar berdasarkan sejarah Rom atau Britain. Sekolah perempuan Inggeris memberi penekanan kepada kelas jahitan, memasak dan muzik.
            Setelah biasiswa-biasiswa Negeri (1863), Biasiswa Queen (1885), dan sijil Cambridge (1891) diperkenalkan, barulah sekolah Inggeris mempunyai sukatan pelajaran yang seragam. Sekolah Inggeris kemudian dimajukan menjadi sekolah rendah dan sekolah menengah. Sekolah rendah menyediakan pelajaran selama tujuh tahun iaitu darjah rendah, satu dan darjah rendah serta diikuti darjah satu hingga lima. Sekolah Menengah pula menyediakan pelajaran selama 4 tahun, iaitu darjah enam hingga kelas Sijil Persekolahan. Murid-murid dalam darjah lima boleh mengambil peperiksaan khas, iaitu Sijil Junior Cambridge.
            Mata pelajaran utama yang diajar ialah bahasa Inggeris, Sejarah, Kesusasteraan Inggeris, Matematik Permulaan, Ilmu Kesihatan dan Ilmu Alam. Mata pelajaran lain turut ditawarkan tetapi bergantung kepada kemudahan yang terdapat di sekolah tersebut. Misalnya, Raffles Institution telah memulakan kelas Sains mulai tahun 1929. Kelas Sains diadakan pada hari Sabtu dan waktu petang untuk murid dari sekolah yang lain. Contohnya Sekolah Tinggi Bukit Martajam akan pergi ke Penang Free School pada setiap hari sabtu untuk menghadiri kelas Sains. Sukatan Pelajaran di sekolah Inggeris berasaskan berdasarkan sukatan pelajaran sekolah menengah di England. Murid dari sekolah Inggeris mempelajari Sejarah dan Geografi British serta Kesusasteraan Inggeris yang tidak berkaitan dengan orang Asia.

4.0  Sebab – sebab sistem pendidikan tersebut tersebut memberi kesan terhadap hubungan etnik di Tanah Melayu
            Sistem pendidikan vernakular telah menyebabkan berlakunya pembekuan yang mengongkong pertumbuhan idea masyarakat untuk mengetahui sesuatu ilmu. Masyarakat Tanah Melayu terpinggir dari arus pembangunan ekonomi, politik dan sosial serta ketinggalan dalam arus pendidikan . Sistem pendidikan vernakular  mengongkong pergerakan dan pemikiran orang Melayu melalui menyekat dan menghadkan pendidikan mereka. British hanya ingin orang Melayu pandai membaca dan menulis serta mempelajari asas pertanian supaya mereka boleh menjadi nelayan dan petani yang lebih baik dari ibu bapa mereka. Keadaan ini menyebabkan orang Melayu tidak akan terkeluar dari kepompong pemikiran mereka dan terus tunduk kepada British.
            Pengenalan sistem pendidikan berasaskan bahasa ibunda masing-masing sebagai bahasa pengantar menyebabkan masyarakat di Tanah Melayu terpisah antara satu sama lain. Dalam keadaan seumpama ini menyebabkan perpaduan kaum sangat sukar dipupuk kerana tidak ada satu bahasa yang dapat dijadikan bahasa rasmi yang boleh menyatukan semua masyarakat ketika ini. Jadi boleh dikatakan penduduk di Tanah Melayu saling tidak memahami bahasa antara satu sama lain. Untuk memupuk perpaduan kaum satu bahasa harus ditetapkan sebagai bahasa perpaduan dan bahasa komunikasi serta harus difahami semua lapisan masyarakatnya. Keadaan ini disebabkan semua kaum di Tanah Melayu masing-masing taksub dengan bahasa ibunda sendiri yang mana orang Cina dengan bahasa Cina, orang India dengan bahasa Tamil, Malayam, Telegu, Hindi dan sebagainya.
            Masyarakat Melayu mula mendesak kerajaan British untuk menyediakan sistem pendidikan yang lebih teratur daripada sistem pendidikan Vernakular.
Akhirnya, kerajaan British mula menggubal dasar pendidikan bagi menyatukan sistem pendidikan yang berasingan di Tanah Melayu. Kerajaan British menganggap sistem pendidikan ini turut berubah kerana sistem pendidikan berasingan ini bukan sahaja tidak dapat memainkan fungsinya, bahkan menjejaskan perpaduan kaum. Kerajaan British juga sedar akan keterdesakan untuk memajukan pendidikan orang Melayu yang ketinggalan daripada orang Cina. Senario ini membawa kepada terhasilnya Laporan Barnes 1950.

5.0  Laporan Barnes 1950
            Pada bulan Ogos 1950, Sir Henry Gurney telah menubuhkan sebuah jawatankuasa yang bertanggungjawab untuk mengkaji system pendidikan vernakular dan kemudahan pendidikan untuk orang Melayu.
            Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh L.J. Barnes yang merupakan Setiausaha dan Pengarah Latihan Sosial di Universiti Oxford London. Di samping itu, jawatankuasa ini mempunyai 14 orang ahli termasuk L.J. Barnes sendiri, Tunku Ya’acob Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Syah, Mahmood Mayyideen, Dr. Mustapha Osman, L.I. Lewis, L.D. Whitfield, E.M.F. Payne, Tom Dato Abdul Razak dan W.B. MacDonald, Aminuddin Baki, Zainal Abidin Sultan Mydin, Tuan Syed Esa Alwee, Tuan Syed Nasir Ismael serta Mohamed Nor Sulaiman. Pada 10 Jun 1951, jawatankuasa telah menerbitkan laporannya yang dikenali sebagai Laporan Barnes.
            Antara kandungan laporan tersebut ialah :
i) Mencadangkan penubuhan sekolah kebangsaan peringkat pendidikan rendah            untuk kanak-kanak umur 6-12 tahun bertujuan melahirkan kanak-kanak yang boleh membaca dan menulis dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Pendidikan yang menumpukan kepada satu aliran persekolahan ini dilihat penting untuk mengubah pandangan kaum pendatang.
ii) Mengesyorkan satu corak pendidikan yang dapat mencipta suatu rupa bangsa yang bercorak Tanah Melayu dan berdasarkan percampuran kaum bagi mewujudkan rasa perpaduan.
iii) Mengesyorkan penggantian sekolah-sekolah vernakular dengan sekolah rendah kebangsaan untuk semua kaum berbentuk dwi-bahasa iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.
iv) Mencadangkan penghapusan bantuan kewangan dari negeri dan pusat untuk sekolah Cina dan Tamil bagi melemahkan dan menamatkan sistem pendidikan bersifat perkauman.
            Secara amnya, laporan ini disokong oleh UMNO, Persatuan-Persatuan Persekutuan, Pelajar-pelajar Melayu dan individu perseorangan seperti E.E.C. Thuraisingham, L.I. Lewis termasuk Sir Henry Gurney sendiri. Walau bagaimanapun, laporan ini menerima tentangan dari masyarakat Cina dan India. Tentangan ini dapat dijangka ekoran tiada seorang pun wakil Cina dan India dalan Jawatankuasa Barnes yang telah ditubuhkan. Aspek yang paling dibimbangi masyarakat Cina adalah saranan Laporan Barnes akan dapat menggugat pendidikan, bahasa dan budaya orang Cina
            Antara yang menarik untuk dibincangkan adalah isu dwi-bahasa dalam perlaksanaan pendidikan kebangsaan yang dicadangkan itu. Masyarakat Cina berpendapat bahasa bukanlah faktor utama penyatuan penduduk Tanah Melayu sebaliknya penggunaan buku teks dan korikulum dan berorientasikan Tanah Melayu sebagai unsur penyatuan kaum.
            Di sini kita melihat bantahan masyakat Cina dan India terhadap Laporan Barnes ternyata lebih menjurus atas faktor kebimbangan akan pupusnya bahasa dan budaya mereka dengan pengenalan pendidikan kebangsaan. Dengan kata lain, Laporan Barnes tidak memberi sebarang pengiktirafan kepada sekolah vernakular atau sekolah yang menggunakan bahasa lain, selain daripada BM. Sekolah kebangsaan yang dicadangkan itu menurunkan kedudukan bahasa-bahasa Cina dan Tamil ke taraf bahasa asing serta ditawarkan hanya sebagai satu mata pelajaran. Akibat daripada tentangan terhadap Laporan Barnes ini akhirnya muncul pula Laporan Fenn Wu yang lebih memberikan sokongan kepada masyarakat Cina.
6.0  Laporan Fenn Wu.
            Reaksi negatif masyarakat Cina cuba dineutralkan oleh Sir Henry Gurney dengan perlantikan sebuah lagi jawatankuasa pada tahun 1951. Jawatankuasa Barnes ini ditugaskan untuk mengkaji pendidikan Cina di Tanah Melayu dengan menitikberatkan usaha menyesuaikan sistem persekolahan yang bercorak perkauman dengan sistem persekolahan bercorak kebangsaan bermatlamat utama untuk merapatkan jurang perbezaan antara kedua-dua sistem persekolahan. Selain itu, jawatankuasa turut diamanahkan memberi nasihat dari segi penyeliaan buku teks yang berlatarbelakangkan kehidupan di Tanah Melayu sebagai cara mengasimilasikan orang Cina ke dalam masyarakat Tanah Melayu.
            Jawatankuasa ini dianggotai dua orang ahli yang juga menjadi pengerusi bersama iaitu Dr. William P. Fenn seorang Amerika dari negeri Cina dan Dr. Wu Teh-Yao, seorang pegawai dari Bangsa-bangsa Bersatu. Mereka berdua kemudiannya telah menerbitkan satu laporan yang dikenali sebagai Laporan Fenn Wu. Bagaimanapun laporan ini dapat dikatakan sebagai satu laporan yang lebih menunjukkan rasa simpati terhadap sistem pendidikan Vernakular Cina di Tanah Melayu. Antara lain kandungan laporan itu adalah seperti berikut:
i) Berusaha menunjukkan sekolah vernakular boleh memberi sumbangan yang berkesan ke arah pembentukan pendidikan Tanah Melayu yang bersatu padu dan mengalami kesedaran nasional.
ii) Mendesak supaya sekolah-sekolah Cina diteruskan, diberi bimbingan dan bantuan kewangan berasaskan objektif pendidikan dan bukannya atas tujuan politik.
iii) Sekiranya Bahasa Melayu diakui sebagai bahasa rasmi dan Bahasa Inggeris diterima sebagai bahasa pengantar maka Bahasa Cina tidak harus diabaikan.
iv) Sekolah Cina tidak boleh dihapuskan sehingga orang Cina sendiri membuat keputusan yang pendidikan cina tidak diperlukan lagi.
            Oleh kerana Laporan Fenn-Wu memihak kepada masyarakat Cina maka, laporan ini telah disambut baik oleh orang Cina itu sendiri. Laporan Barnes dan Laporan Fenn-Wu menunjukkan masalah kritikal dalam sistem pendidikan di TM iaitu kedudukan bahasa pengantar. Pengekalan sekolah Cina dan Tamil dilihat sebagai satu halangan ke arah pembentukan identiti kebangsaan manakala penghapusan sekolah Cina dianggap sebagai tindakan menindas dan memupuskan budaya Cina.
Melihatkan tiada jalan penyelesaian untuk mewujudkan perpaduan kaum di Tanah Melayu, kerajaan Persekutuan akhirnya mewujudkan Ordinan Pelajaran pada tahun 1952 untuk menyatukan Laporan Barnes dan Laporan Fenn Wu.
7.0 Ordinan Pelajaran 1952
            Menurut ordinan ini, Tanah Melayu hanya mempunyai dua jenis sekolah kebangsaan iaitu Melayu dan Inggeris. Bahasa Cina dan Bahasa Tamil boleh diajar di sekolah sebagai bahasa ketiga jika mendapat permintaan daripada ibu bapa dengan syarat terdapat sekurang-kurangnya 15 orang pelajar dalam kumpulan yang sama. Bahasa Inggeris akan menjadi pelajaran wajib bagi sekolah Melayu dan Bahasa Melayu akan menjadi pelajaran wajib di sekolah Inggeris.
            Walau bagaimanapun, masyarakat Cina mentafsir ordinan ini sebagai langkah yang akan membinasakan atau menghapuskan pelajaran Cina. Di sini lagi kita dapat perhatikan jawatankuasa yang diwujudkan masih berat sebelah. Hal ini telah mendapat tentangan yang akhirnya membawa kepada pemansuhan jawatankuasa tersebut.
8.0  Kesimpulan
            Hasil daripada perbincangan tentang sistem pendidikan Vernakular yang diperkenalkan oleh kerajaan British maka bolehlah dianggap sistem ini telah memecah belahkan hubungan etnik di Tanah Melayu. Pelbagai cadangan dan saranan untuk mewujudkan suasana hubungan etnik yang harmoni di kalangan penduduk Tanah Melayu boleh dikatakan menemui jalan buntu.
            Pemeritahan kolonial tidak ada minat untuk membangunkan rakyat dan menyatukan etnik yang pelbagai kaum pada waktu tersebut melalui pendidikan. Bagi penjajah Inggeris pada zaman terebut persefahaman dan perpaduan tidak dianggap penting untuk dipupuk menerusi pendidikan. Oleh sebab itu, British mengabaikan soal penggunaan satu bahasa pengantar, kurikulum yang sama, pentadbiran yang terancang dan penubuhan satu sistem sekolah yang tunggal yang dapat mendidik dan dapat menyatukan anak-anak dari semua keturunan. Maka dapatlah disimpulkan sekali lagi di sini bahawa terdapat benyak kesan negatif wujud disebabkan sistem pendidikan kolonial yang diperkenalkan oleh British pada zaman penjajahan.
            Namun demikian usaha yang dilakukan secara berterusan oleh kerajaan Perikatan yang  dipilih oleh rakyat menampakkan sedikit harapan. Walaupun begitu sukar untuk memuaskan hati masyarakat Cina yang begitu risau akan kepupusan budaya dan bahasa mereka di Tanah Melayu, akhirnya mereka dapat menerima pendapat bahawa perpaduan antara kaum adalah amat penting untuk mewujudkan negara bangsa yang unggul.

            Kejayaan Laporan Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960, menampakkan perpaduan antara kaum di Malaysia semakin mantap dari sehari ke sehari. Apa yang kita dapat lihat adalah kelemahan demi kelemahan telah diatasi sehingga wujudnya satu sistem pendidikan yang amat jelas dan sistematik seperti mana wujud sehingga kini. Keutuhan itu semakin jelas apabila semua kaum bersatu padu membangunkan negara dan bersatu nyawa mempertahankan kedaulatan negara Malaysia yang tercinta.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan