MENU BAR

Drop Down MenusCSS Drop Down MenuPure CSS Dropdown Menu

Rabu, 1 Oktober 2014

Murid dan Alam Belajar

1.0    Pengenalan
            Pembelajaran adalah satu perubahan tingkahlaku. Ianya membawa maksud bahawa seseorang kanak-kanak apabila mampu melakukan sesuatu yang baru berbanding dengan sebelumnya, maka telah berlaku pembelajaran di situ. Kesimpulannya pembelajaran memerlukan seseorang mengambil langkah baru atau mengubahsuai yang sedia ada. Lazimnya pembelajaran dinilai berasaskan kemampuan seorang kanak-kanak itu mampu membaca, menulis, mengira atau melakukan sesuatu yang baru.
            Dalam konteks pendidikan , pembelajaran bolehlah didefinisikan sebagai perubahan tingkahlaku seseorang akibat perolehan ilmu, kemahiran atau amalan hasil daripada proses pendidikan. Ini bermakna pembelajaran berlaku apabila murid –murid mampu untuk mengaplikasikan ilmu yang baru diperolehi dalam situasi kehidupan seharian.
            Teori pembelajaran pula ialah hasil kajian yang dijalankan oleh ahli-ahli psikologi tentang prinsip-prinsip dan hukum-hakam pembelajaran itu sendiri.  Teori pembelajaran ini menjadi pegangan dan panduan guru-guru ketika menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Dengan menggunakan teori pembelajaran ini diharapkan guru dapat memahami cara murid-muridnya belajar. Guru yang baik akan dapat mengaitkan prinsip pembelajaran dengan kaedah dan teknik yang akan digunakan.
            Terdapat lima teori pembelajaran yang telah diwujudkan oleh ahli-ahli psikologi terkemuka dunia. Teori pembelajaran yang dimaksudkan ialah Teori Pembelajaran Kognitif, Teori Pembelajaran Behavioris,  Teori Pembelajaran Konstruktivis, Teori Pembelajaran Sosial dan Teori pembelajaran Humanistik. Setiap teori ini mempunyai kelebihan dan  kelemahan yang tersendiri. Setiap satunya juga mempunyai konsep, prinsip, ciri-ciri dan pendekatan yang berbeza.
            Di dalam kerja kursus Murid Dan Alam Belajar ini kami akan memberikan tumpuan kepada Teori Pembelajaran Behavioris dan Teori Pembelajaran Kontruktivis.

2.0    Teori Pembelajaran Behavioris
            Teori Pembelajaran Behavioris telah diperkenalkan oleh Ivan Pavlov Dan dimurnikan oleh Thorndike dan Skinner. Teori Behavioris berpendapat bahawa pembelajaran adalah berkaitan dengan perubahan tingkah laku. Dalam bentuk pendekatan Teori Behavioris, tingkah laku pelajar dinilai sebelum memulakan pengajaran. Pembelajaran memerlukan penyusunan (stimuli) ransangan dalam persekitaran supaya pelajar dapat memberikan respon yang baik dan diberi pengukuhan. Teori pembelajaran Behavioris lebih menekankan tingkahlaku yang dapat dilihat sahaja. Apa yang berlaku di dalam otak murid bukanlah tujuan utama teori pembelajaran Behavioris. Tokoh-tokoh Behavioris menganggap otak manusia seperti kotak hitam yang gelap.
             Tokoh-tokoh Teori Pembelajaran Behavioris ini telah menjalankan kajian untuk membuktikan keberkesanan teori pembelajaran mereka.

2.1            J.B. Watson
            J.B.Watson adalah pengasas teori pembelajaran Behavioris.  Beliau  telah menjalankan satu ujikaji ke atas seorang  kanak-kanak yang bernama Albert B yang berumur Sembilan bulan pada tahun 1920. Eksperimen ini telah dinamakan Little Albert. Kajian ini ialah di mana seorang bayi telah dilazimkan untuk menunjukkan ketakutan terhadap bunyi yang kuat. 
            Albert pada usia sembilan bulan telah ditunjukkan dengan seekor tikus. Albert pada mulanya tidak menunjukkan rasa takut kepada tikus itu. Pada usia sebelas bulan, Albert sekali lagi ditunjukkan dengan tikus. Pada kali ini Watson telah mengetuk batang besi yang mengeluarkan bunyi yang kuat pada ketika tikus itu ditunjukkan kepada Albert. Albert menangis apabila mendengar bunyi yang kuat itu. Setiap kali tikus ditunjukkan kepada Albert, bunyi besi akan diperdengarkan. Akhirnya Albert menangis setiap kali tikus ditunjukkan.
            J.B. Watson menjelaskan bahawa Albert telah mengaitkan tikus putih sebagai ransangan asal yang bersifat neutral telah menjadi ransangan terlazim dengan bunyi kuat sebagai ransangan tidak terlazim. Ini bermakna apabila Albert menangis setiap kali tikus ditunjukkan, pembelajaran telah berlaku. Selepas sepuluh hari, tikus ditunjukkan berulang kali tanpa bunyi yang kuat, Albert tidak lagi menangis. Maka ini menunjukkan telah berlaku proses penghapusan.  
            Ini dapat diterangkan dengan rajah di bawah.
Gerakan Semulajadi:
Bunyi kuat (Ransangan Tidak Terlazim)                     Ketakutan (Gerakbalas Tidak Terlazim)

Proses Berpadanan :
Tikus (Ransangan Neutral)  +  Bunyi kuat (Ransangan Tidak Terlazim)            Ketakutan (Gerakbalas Tidak Terlazim)

Berlakunya Pembelajaran :
Tikus (Ransangan Terlazim)                Ketakutan (Gerakbalas Tidak Terlazim)

Gambarajah menunjukkan kajian yang dijalankan oleh J.B. Watson.

             Bagaimanapun eksperimen ini telah menjadi isu yang besar kerana penggunaan kanak-kanak.

2.2            Ivan Pavlov
            Ivan Pavlov pula terkenal dengan eksperimen klasik di mana anjing telah dilazimkan untuk mengeluarkan air liur sebagai tindak balas kepada bunyi loceng.  Beberapa konsep penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran dihasilkan melalui pelaziman klasik yang dikemukakan oleh Pavlov. Konsep tersebut ialah diskriminasi, pembelajaran semula, generalisasi dan penghapusan.
            Generalsisasi bermaksud ransangan yang sama akan menghasilkan tindak balas yang sama. Diskriminasi berlaku apabila individu bertindak balas terhadap sesuatu ransangan yang tertentu sahaja dan tidak pada ransangan yang lain.  Penghapusan berlaku apabila ransangan terlazim yang tidak disertaidengan ransangan tidak terlazim. Pembelajaran semula akan berlaku apabila ransangan terlazim dan dan ransangan tidak terazim dijalankan serentak, maka individu akan bertindak balas seperti keadaan asalnya.
            Konsep-konsep tersebut diperolehinya setelah menjalankan kajian terhadap seekor anjing. Pavlov mengkaji fungsi pencernaan pada anjing dengan melakukan pemerhatian pada kelenjar air liur anjing. Beliau sedar anjing akan mengeluarkan air liur anjing akan mengeluarkan air liur sebelum makanan sampai ke mulutnya dan mencari hubungan timbal balik antara air liur dengan aktiviti perut. Pavlov ingin melihat  ransangan luar dapat mempengaruhi proses ini.
Gambarajah Eksperiman Pavlov

            Eksperimen Pavlov terhadap anjing ini telah dijalankan secara tiga fasa:
Fasa Pertama. (Sebelum Pelaziman)
            Anjing diberi makanan (Ransangan Tidak Terlazim) mengakibatkan air liur anjing meleleh (Gerakbalas Tidak Terlazim). Loceng dibunyikan sebelum makanan ditunjuk, air liur tidak meleleh (Ransangan Neutral).

Fasa Kedua. (Semasa Pelaziman)
            Pavlov membunyikan loceng (Ransangan Neutral) sebelum memberi anjing makan. Pavlov mengulangi perbuatan memadankan loceng dengan makanan (Ransangan Tidak Terlazim) untuk beberapa kali.

Fasa Ketiga (Selepas pelaziman )
            Apabila Pavlov membunyikan loceng (Ransangan Terlazim), air liur anjing meleleh(Gerakbalas Terlazim) walaupun makanan (Gerakbalas Tidak Terlazim) tidak diberikan.

Gambarajah menunjukkan eksperimen yang dijalankan oleh Pavlov.

            Kesimpulannya, hanya makanan sahaja yang dikaitkan dengan lelehan air liur. Namun akibat padanan yang berulangan, telah wujud satu perkaitan antara loceng dengan lelehan air liur. Perkaitan yang wujud ini dikenali sebagai pembelajaran. Hasil pemerhatian yang dilakukan sepanjang eksperimen tersebut, Pavlov telah melahirkan beberapa konsep yang berkaitan seperti jadual di bawah.

Konsep
Penjelasan
Generalisasi ransangan
Anjing bukan sahaja meleleh air liur apabila mendengar bunyi loceng malah ianya mengeluarkan air liur terhadap bunyi-bunyi yang lain. Ini bermakna anjing belajar apabila mendengar bunyi-bunyian makanan akan dihidangkan.
Penghapusan
Jika loceng tidak dipadankan dengan makan airu liur akan berhenti meleleh.
Pemulihan spontan
Respon terhapus kembali semula selepas satu tempoh masa tetapi akan terhapus juga sekiranya anjing tidak diberikan makanan.
Diskriminasi
Anjing belajar membezakan antara loceng yang serupa (ransangan), kemudian ketahui bunyi loceng yang akan atau tidak diikuti dengan makanan.
Pelaziman tahap tinggi
Setelah anjing telah dilazimkan, cahaya boleh ddikelipkan bersama bunyi loceng. Lama-kelamaan air loceng akan meleleh terhadap cahaya (ransangan terlazim) tanpa bunyi loceng.



2.3            Edward Lee Thorndike.
            Edward Lee Thorndike pula berpendapat manusia belajar menggunakan kaedah cuba dan ralat. Oleh itu beliau mengatakan bahawa ganjaran dan denda adalah dua factor penting yang membantu dalam pembelajaran manusia. Pembelajaran berlaku mengikut hubungan antara ransangan dan gerak balas. Thorndike percaya bahawa motivasi, ganjaran dan denda amat penting dalam proses pembelajaran. Ganjaran akan membuatkan murid riang, selesa dan bermotivasi untuk belajar manakala denda akan mengingatkan pelajar agar tidak melakukan kesalahan ketika proses pembelajaran berlangsung.
            Pendapat beliau ini adalah bersandarkan kepada hasil kajian yang telah beliau jalankan iaitu Kotak Ajaib Thorndike. Kajian ini dijalankan ke atas kucing lapar yang diletakkan di dalam sebuah kotak ajaib. Makanan kucing itu diletakkan di luar kotak. Kucing itu berusaha untuk keluar dari kotak melalui proses cuba jaya.  Beliau mengulangi kajian dan mendapati jangka masa kucing di dalam kotak semakin singkat. Ini bermaksud bahawa kucing tersebut bukan sahaja mengetahui bentuk tindakan yang perlu diambil, bahkan berjaya membuat perkaitan antara situasi di mana ia berada dengan gerakbalas yang tepat untuk membebaskan diri.
            Merujuk kepada Teori Connectiosnisme Thorndike, terdapat tiga hukum iaitu  Hukum Kesediaan, Hukum Latihan dan Hukum Kesan. Hukum Kesediaan ialah pembelajaran menjadi lebih berkesan sekiranya murid  sudah bersedia dari segi fizikal dan mental. Hukum Latihan pula ialah ulangan adalah asas kepada gerakbalas yang diingini seterusnya mengukuhkan ingatan murid. Hukum Kesan ialah murid menjadi seronok apabila diberi ganjaran apabila berjaya didalam sesuatu pembelajaran.

2.4            Burhus Frederick Skinner
            Seorang lagi tokoh Behavioris, Burhus Frederick Skinner pula dalam kajiannya menunjukkan pelaziman operan di mana organism bertindakbalas terhadap persekitaran dalam proses pembelajaran. Beliau telah menjalankan kajian ke atas seekor tikus lapar yang dimasukkan ke dalam Kotak Skinner. Kotak tersebut dilengkapi dengan suis yang akan mengeluarkan bijiran apabila ditekan oleh tikus. Setelah dilakukan berulang-ulang tikus tahu menekan suis dan makanan akan keluar. Apabila Skinner memutuskan aliran suis tersebut makan tidak lagi keluar setelah suis ditekan. Setelah mencuba berkali-kali namun hasilnya hampa, tikus tidak lagi menekan suis tersebut.
Eksperimen Thorndike

            Perbuatan menekan butang untuk mendapatkan makanan itu disebut pelaziman operan. Eksperimen ini menunjukkan bahawa satu gerakbalas hanya berulang jika wujud ganjaran.  Konsep peneguhan juga amat jelas sekali didalam kajian yang dijalankan oleh Skinner.  Skinner juga menjelaskan bahawa sesuatu peneguhan boleh bersifat positif atau negatif. Peneguhan positif seperti pujian dan ganjaran adalah penting kerana akan mendorong murid memberikan hasil yang lebih baik pada masa hadapan. Peneguhan negatif ialah ransangan serta-merta yang tidak selesa atau menyakitkan yang diberikan selepas sesuatu gerakbalas yang ditunjukkan. Contohnya menegur murid yang tidak menyiapkan kerja sekolah mereka.



























4.0     Perbezaan Teori Pembelajaran Behavioris dengan Kontruktivis.
Aspek
Behavioris
Kontruktivis
Fokus Pengajaran
Berfokuskan kepada perubahan tingkah laku
Berfokuskan pembinaan mental  pelajar
Instruksi dan manipulasi
Pengajar memanipulasikan tingkah laku dengan pengukuhan terpilih.
Pengajar sebagai fasilitator. Membekalkan aktiviti pembelajaran yang sesuai untuk membantu pelajar membina pengetahuannya. Mencipta pelbagai situasi untuk melatih pelajar berfikir dengan lebih kreatif dan kritis. Hasilnya pelajar lebih bersedia untuk menangani situasi berbeza-beza.
Realiti  yang dipromosikan
Realiti pelajar adalah konvergen iaitu semua realitinya  dipusatkan kepada satu realiti yang sama. Pengajaran berpusatkan realiti tersebut.
Reality pelajar adalah divergen. Pelajar digalakkan untuk memajukan realiti yang berbeza-beza.
Pengetahuan dan tingkah laku.
Pembelajaran merupakan pengukuhan hubungan antara isyarat dan tingkahlaku yang dicorakkan oleh akibat. Proses ini disebut pembentukan. Latih tubi yang kerap akan mengukuhkan pengetahuan dan masa yang diambil untuk  pembelajaran semakin pendek.
Pembelajaran adalah hasil bimbingan guru sebagai fasilitator dan pelajar berusaha menyelesaikan masalah pembelajaran mereka sendiri.
Realiti dan peraturan.
Pembelajaran berlaku apabila wujudnya hubungan yang boleh diramalkan antara sesuatu ransangan dalam persekitaran, suatu tingkah laku dan satu akibat. Ini melibatkan hukum kesediaan yang mempengaruhi tindakan pelajar.
Pelajar menginterprestasikan realiti luaran berdasarkan pengalaman individu.
Pengetahuan adalah berasaskan pendapat bahawa kita membina perspektif dunia dengan menggunakan refleksi pengalaman individu. Dengan menyesuaikan mentalkita untuk merangkumi pengalaman baru, ini bermakna kita telah mengalami pembelajaran.
Kawalan pelajar
Pelajar dikawal dengan konsep ganjaran dan dendaan. Pelajar yang menunjukkan tingkahlaku yang positif  akan diberikan ganjaran. Manakala pelajar yang menunjukkan tingkahlaku yang negatif  akan diberi dendaan yang sesuai.
Pelajar mempunyai kebebasan sepenuhnya ke atas sasaran yang mereka ingin capai di dalam pembelajaran. Guru hanya sebagai pembimbing dan pendorong untuk menggalakkan pelajar menguasai kemahiran dan seterusnya mencapai kepuasan pembelajaran mereka.





















5.0    Keberkesanan Teori Pembelajaran Behavioris dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.
           
            Setelah mengkaji kedua-dua teori pembelajaran iaitu Teori pembelajaran Behavioris dan Kontruktivis, kami memilih Teori Pembelajaran Behavioris untuk diapplikasikan ke dalam pengajaran dan pembelajaran pendidikan jasmani. Ini kerana kami mendapati Behavioris mempunyai beberapa keistimewaan yang sangat baik ketika menjalankan aktiviti pendidikan jasmani.
            Teori Pembelajaran Behavioris menekankan setiap  ransangan akan menimbulkan gerak balas. Gerak balas ialah  apa sahaja tingkah laku yang timbul akibat  daripada ransangan.  Manakala ransangan pula adalah apa sahaja bentuk tenaga yang menimbulkan gerakbalas. Pembelajaran boleh berlaku akibat perkaitan di antara ransangan dengan gerak balas.
            Ketika menjalankan pengajaran dan pembelajaran pendidikan jasmani di sekolah, kami guru pendidikan jasmani kerap menimbulkan ransangan kepada murid agar mereka dapat memberikan gerak balas yang sepatutnya. Ransangan yang berkesan akan melahirkan gerak balas yang betul. Gerak balas yang betul ini adalah tingkah laku yang guru inginkan daripada murid. Tingkah laku yang betul memungkinkan murid melakukan aktiviti pendidikan jasmani  dengan berkesan.            Sebagai contoh guru mengarahkan pelajar melambung dan menangkap pundi kacang. Ini merupakan satu ransangan. Setelah pelajar mahir melambung dan menangkap pundi kacang itu dengan betul ini menunjukkan pelajar telah melakukan gerak balas daripada ransangan guru itu tadi. Melambung dan menangkap pundi kacang dengan betul pula  ialah tingkah laku yang dikehendaki oleh guru itu. Maka selepas ini pelajar pasti boleh menangkap apa sahaja objek selain daripada pundi kacang seperti bola, gelung rotan, riben dan sebagainya dengan baik. Ini bermakna pembelajaran sudah berlaku dan dikuasai dengan baik oleh pelajar.
            Teori pembelajaran Behavioris juga menekankan penguasaan pembelajaran yang berterusan di kalangan pelajar. Justeru guru perlulah mengamalkan pengajaran yang seimbang iaitu dengan mengurangkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran berpusatkan guru. Sebaliknya guru perlulah lebih banyak mempraktikkan pengajaran dan pembelajaran berpusatkan pelajar. Teori Behavioris mementingkan latih tubi yang intensif. Melalui latih tubi yang kerap dan intensif, pelajar dapat meningkatkan kecekapannya.  Melalui teknik ini juga pelajar dapat mengembangkan idea dan mempunyai tahap keyakinan yang tinggi.
            Contohnya ketika guru pendidikan jasmani mengajar permainan bola tampar.  Guru mengarahkan pelajar berlari ke hadapan menyentuh bola yang dipegang guru. Apabila pelajar menyentuh bola tersebut guru mengarahkan pelajar berlari ke belakang secara mengundur. Guru melambungkan bola dan pelajar menyangga bola tersebut dalam keadaan masih berlari ke belakang secara mengundur. Setelah berulang kali dilakukan, akhirnya pelajar dapat menguasai kemahiran menyangga bola sambil berlari undur. Maka pembelajaran telah berlaku.
             

Gambar menunjukkan pelajar berlari dan menyentuh bola


Gambar menunjukkan pelajar berlari secara mengundur setelah menyentuh bola

Pelajar menyangga bola yang dilambung oleh guru.

            Teori Behavioris sangat menekankan ganjaran dan dendaan di dalam pengajaran dan pembelajaran. Pelajar amat suka jika mereka diberi ganjaran setelah berjaya menguasai pembelajaran. Di dalam pendidikan jasmani ada diselitkan aktiviti permainan kecil. Di dalam permainan kecil ini pelajar akan bersaing di antara mereka. Contohnya guru mengadakan permainan “Siapa Yang Lebih Laju”. Pelajar akan berlumba lari sejauh 50 meter untuk mengambil pundi kacang yang diletakkan di dalam gelung rotan. Pelajar yang berjaya sampai dahulu di garisan penamat dengan membawa pundi kacang itu, dianggap pemenang. Guru akan memberikan hadiah kepada pemenang yang berupa alat tulis. Pelajar pastinya akan berlumba bersungguh-sungguh untuk mendapatkan ganjaran. Ini  adalah baik kerana pelajar bersaing bersungguh-sungguh untuk menjadi yang terpantas di kalangan mereka.
            Ada segelintir pelajar yang sukar menguasai kemahiran pergerakan asas di dalam pendidikan jasmani. Contohnya ada pelajar sukar melakukan pergerakan mencongklang. Oleh itu guru perlu membimbing pelajar ini supaya terus mencuba sehingga berjaya melakukannya. Ini bersesuaian dengan teori Thorndike iaitu pembelajaran melalui prose scuba jaya. Apabila pelajar itu telah berjaya melakukan kemahiran mencongklang, guru akan memberi ganjaran seperti ucapan ‘bagus’, ‘tahniah’ ataupun ‘hebat’. Bagi sesetengah pelajar yang tidak focus kepada pengajaran guru pula, mereka boleh didenda seperti berlari sekeliling padang dan sebagainya.
            Kesimpulannya Teori Pembelajaran sangat mudah untuk diamalkan oleh guru. Pelajar juga lebih mudah menguasai pembelajaran mereka apabila guru mempraktikkan teori ini di dalam pengajaran mereka.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan